Monday, 17 October 2011

Penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad S.A.W.

PENYEBARAN ISLAM OLEH NABI MUHAMMAD S.A.W. (571M – 632M)
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadirat Allah S.W.T., Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., keluarga serta sahabat-sahabat baginda.
Dengan taufik dan inayah dari Allah S.W.T. kami diberi peluang untuk memulakan penulisan ini di dalam mengenal dan menghayati sejarah perkembangan Islam sejak kira-kira 1,400 tahun yang lalu di bumi Makkah, Tanah Arab yang dibawa oleh seorang manusia agung Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Penulisan ini adalah berdasarkan rujukan terhadap penulisan-penulisan sebelum ini. Walau bagaimana pun atas segala kecacatan dan kekurangan di dalam penulisan ini kami selaku hamba yang dhaif memohon ampun dan maaf dan mengalu-alukan sebarang teguran yang membina.
Nabi Muhammad s.a.w. lahir pada Tahun 571 Masihi
‘Abdul Mutthalib Bin Hashim adalah seorang Penguasa Makkah yang dihormati dan disegani oleh penduduk Makkah. Perkahwinan yang diaturkan di antara puteranya ‘Abdullah Bin ‘Abdul Mutthalib dari Bani Hashim dengan Aminah Binti Wahab dari Bani Zuhrah, telah melahirkan Muhammad yang kemudiannya menjadi seorang manusia agung Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.
Hari ini Kota Makkah al-Mukarramah adalah sebuah kota di Negara Saudi Arabia terletak 73 km dari kota Jeddah, dan mempunyai kira-kira sejumlah 1.7 juta penduduk.
Nabi Muhammad s.a.w. lahir pada 12 Rabi’ul-Awwal Tahun Gajah bersamaan dengan Tahun 571 Masihi, di kota Makkah al-Mukarramah sebagai anak yatim. Kemudiannya hidup sebagai anak yatim piatu apabila ibunya pula meninggal dunia semasa Nabi Muhammad s.a.w. berusia enam tahun. Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya diasuh dan dibesarkan oleh bapa saudara baginda, Abu Thalib Bin ‘Abdul Mutthalib dan isterinya Fatimah Binti Asad. Nabi Muhammad s.a.w. lahir daripada keluarga Arab Quraish keturunan Ismailiah, salah satu keturunan Nabi Ismail a.s. putera kepada Nabi Ibrahim a.s.
Sejarah Arab Quraish bermula apabila Qusah (400-480 Masihi) berjaya menyatukan suku-suku Quraish pada abad kelima Masihi.
Semasa kecilnya Nabi Muhammad s.a.w. hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kemiskinan. Baginda bekerja mengembala kambing kepunyaan orang-orang Bani Sa’ad. Pekerjaan mengembala kambing memberi pendidikan dan latihan jiwa kepada baginda seperti sabar, tabah, kasih sayang dan menjaga serta menolong makhluk yang lemah. Pada usia 12 tahun, beliau  mengikuti bapa saudara baginda berniaga ke Negeri Syam. Nabi Muhammad s.a.w. terkenal sebagai seorang yang banyak berbuat kebajikan, berbudi luhur, berakhlak mulia, manis budi bahasa, jujur dan menjauhkan diri dari segala macam perbuatan yang burok. Seterusnya, pada usia 25 tahun, seorang ahli perniagaan Arab yang kayaraya dan terhormat, Siti Khadijah Binti Khuwailid r.a. meminta Nabi Muhammad s.a.w. membantu menjalankan perniagaannya ke Negeri Syam.
Siti Khadijah r.a. kemudian melamar baginda selepas mengenali dan  mengetahui sifat-sifat terpuji yang dimilikki Nabi Muhammad s.a.w. yang antaranya sentiasa bercakap benar, tidak pernah berdusta, sangat jujur dan berakhlak mulia.
Perkahwinan baginda dengan Siti Khadijah r.a. banyak membawa manafaat bagi mengembangkan dakwah Risalah Islamiah di kota Makkah. Siti Khadijah r.a. adalah orang yang pertama memeluk agama Islam dan banyak membantu suaminya dalam menyebarkan agama Allah S.W.T.
Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai akhlak yang mulia dan mendapat pujian masyarakat Arab Quraish. Pada usia 35 tahun beliau dikenali dengan gelaran “al-Amin” (orang yang dipercayai). Baginda seorang yang dipercayai, contohnya di dalam pertelingkahan di antara kabilah-kabilah Quraish untuk menempatkan semula Hajar Aswad, Nabi Muhammad s.a.w. telah dipersetujui dipilih untuk menyelesaikan pertelingkahan berkenaan.
Menerima Wahyu Pertama Ketika Berusia 40 Tahun
Ketika memasuki usia 40 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu pertama “surah al-Alaq” daripada Allah S.W.T. melalui perantaraan malaikat Jibrail. Selang beberapa waktu, beliau menerima perintah Allah S.W.T. supaya berdakwah dan menyebarkan risalah agama Allah S.W.T. kepada semua manusia, bermula daripada keluarga seterusnya kepada sahabat terdekat. Nabi Muhammad s.a.w. berjuang menegakkan kebenaran Allah S.W.T., menyeru dan mengajak manusia bersembah sujud hanya kepada Allah S.W.T.,  dan menamatkan penyembahan berhala, menerangkan konsep percaya hanya kepada Tuhan yang satu, iaitu Allah S.W.T. Tuhan yang mencipta alam semesta, yang memberi kehidupan, yang menentukan kematian, yang memberi rezeki dan lain-lain pemberian dan ketentuan.
Pada peringkat permulaan, hanya sebahagian kecil ahli keluarga baginda menerima risalah dakwah baginda iaitu isteri baginda Siti Khadijah Ummul-Mu’minin r.a., sepupu baginda Ali Bin Abu Thalib r.a., anak angkatnya Zaid Bin Haritsah r.a., dan sahabat karib baginda Abu Bakar as-Siddiq r.a. yang juga seorang ahli perniagaan yang berakhlak tinggi. Mereka mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. “Dakwah secara sulit” ini berlangsung selama tiga tahun.
Selanjutnya diikuti dengan “dakwah secara terbuka” di Makkah yang berlangsung sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke kota Madinah. Penentangan sebahagian besar daripada masyarakat terhadap risalah dakwah baginda diketuai oleh Abu Jahal dan bapa saudaranya sendiri Abu Lahab. Bagi mereka, risalah tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah bertentangan dengan kepercayaan agama nenek moyang mereka. Mereka juga bimbang risalah agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. akan menggugat kuasa dan mengancam ekonomi yang dikuasai oleh mereka.
Usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w. mula membuahkan hasil apabila ramai para sahabat memeluk agama Islam, antaranya:

·        ‘Uthman Bin ‘Affan r.a. – berkahwin dengan Ruqayyah Binti Muhammad Rasulullah s.a.w.
·        Zubair Bin al-‘Awwam r.a. – memeluk Islam pada usia 12 tahun
·        ‘Abdul Rahman Bin ‘Auf r.a.
·        Saad Bin Abi Waqqash r.a. – antara 10 orang sahabat Nabi yang diberi kabar gembira akan masuk syurga
·        Thalhah Bin ‘Ubaidillah r.a.
·        Hamzah bin ‘Abdul Mutthalib r.a.
·        ‘Umar Bin al-Khattab r.a. – “Dakwah secara terbuka” bermula selepas ‘Umar r.a. sebagai orang yang sangat ditakuti oleh musyrikin Quraish memeluk agama Islam
·        Abu ‘Ubaidah Bin al-Jarrah r.a. – antara 10 orang sahabat Nabi yang diberi kabar gembira akan masuk syurga
·        ‘Abdullah Bin ‘Abdul Asad r.a.
·        Al-Arqam Bin Al-Arqam r.a. – Rasulullah s.a.w. giat “berdakwah secara sulit” di rumah Al-Arqam r.a.
·        ‘Uthman Bin Madz’un r.a. – disertai dua orang saudara lelakinya, Qudamah dan ‘Abdullah
·        ‘Ubaidah Bin al-Hariths r.a.
·        Said Bin Zaid r.a. – antara 10 orang sahabat Nabi yang diberi kabar gembira akan masuk syurga
Arab Quraish terus melakukan tentangan demi tentangan ke atas risalah dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Kemuncak penentangannya, mereka telah bertindak menyerang untuk membunoh Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikut-pengikut baginda. Antara mereka yang diserang ialah Ammar Bin Yassir dan ibunya Sumayyah.
Ujian berat yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. ialah apabila pelindung kuat baginda iaitu bapa saudara baginda Abu Thalib Bin Abdul Mutthalib dan  isteri baginda Siti Khadijah r.a. meninggal dunia pada tahun 619 Masihi. Mengetahui kesedihan Nabi Muhammad s.a.w., masyarakat Quraish Makkah semakin kuat memusuhi baginda. Ancaman itu menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikut-pengikut baginda telah menyusun strategi berhijrah ke kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Sebelum ke Madinah pengikut-pengikut baginda pernah berhijrah ke Habasyah (Ethiopia), dan Taif, tetapi diusir keluar.
Berhijrah ke Madinah Pada Tahun 622 Masihi
Di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. disambut baik oleh penduduk-penduduk Madinah. Kaum Ansar membantu keperluan-keperluan kaum Muhajirin. Mereka saling bekerjasama dalam menyebarkan risalah dakwah agama Allah S.W.T.
Masjid yang pertama dibina di Madinah ialah Masjid Quba yang terletak di pinggir kota Madinah. Islam terus berkembang di Madinah dengan sokongan sahabat-sahabat antaranya seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a. dan ‘Uthman Bin ‘Affan r.a. yang mempunyai kekayaan, sepupu Nabi Muhammad s.a.w. iaitu ‘Ali Bin Abu Thalib r.a., dan antara pemimpin Quraish yang disegani iaitu ‘Umar Bin al-Khattab r.a. dan Hamzah Bin ‘Abdul Mutthalib, dan sahabat-sahabat yang lain antaranya seperti Abdullah Bin Mas’ud r.a. dan Zaid Bin Tsabit r.a. Mereka mampu bersatu setia di bawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. dalam mengembangkan risalah Islam di tanah Arab pada ketika itu.
Di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. membina kesatuan bangsa samada dari masyarakat Islam Ansar dan Muhajirin, ataupun di antara masyarakat Islam dan bukan Islam (Yahudi), di bawah “Piagam Madinah”. Piagam Madinah adalah undang-undang bertulis pertama dalam sejarah manusia yang menyusun dasar-dasar kuasa yang dibangunkan secara bersama. Nabi Muhammad s.a.w. membentuk pentadbiran kota Madinah yang didukung bersama oleh semua rakyat. Dari kota inilah jemaah-jemaah dakwah dan jihad dihantar untuk menyebarkan risalah Islam ke kota-kota yang lainnya.
Madinah al-Munawarah di zaman sebelum Islam dikenali sebagai kota Yathrib, kini sebuah kota di Negara Saudi Arabia, kota suci Islam kedua selepas Makkah, kota di mana Nabi Muhammad s.a.w. mengakhiri hidup dan perjuangannya, kota di mana jasad Nabi Muhammad s.a.w. disemadikan.
Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada 8 Jun Tahun 632 Masihi.
Kota Madinah terletak kira-kira 340 km di utara kota Makkah. Madinah mempunyai tiga masjid tertua dan penting dalam sejarah Islam iaitu Masjid al-Nabawi (masjid nabi), Masjid Quba (masjid pertama dalam sejarah Islam), dan Masjid al-Qiblatain (masjid dua qiblat di mana Nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan oleh Allah S.W.T. menukar arah qiblat dari arah Baitul Muqaddis, Jerusalem ke arah Baitullah di Makkah). Penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikut-pengikut baginda dari Makkah ke Madinah pada Tahun 622 Masihi adalah rujukan bermulanya pengiraan kalender Islam yang dikenali sebagai “Tahun Hijrah”. Madinah kini mempunyai kira-kira sejumlah 1.3 juta penduduk. Kemasukkan ke kota Madinah, seperti kota Makkah, hanya terhad kepada orang-orang Islam.
Penduduk Islam meliputi Satu Perempat Penduduk Dunia
Hari ini kira-kira satu perempat dari jumlah 6.97 billion penduduk dunia adalah orang-orang Islam. Majoriti penduduk Islam berada di kira-kira 50 buah negara-negara di dunia. Islam yang datang dari Tanah Arab, hari ini hanya kira-kira 15% dari orang-orang Islam adalah orang-orang Arab. Antara jumlah penduduk Islam teramai mengikut Negara adalah seperti di Indonesia dengan 203 juta orang Islam, Pakistan dengan 174 juta, India dengan 161 juta, Bangladesh dengan 145 juta, Mesir dengan 79 juta, Nigeria dengan 78 juta, Iran dan Turki masing-masing dengan 74 juta, Algeria dengan 34 juta, Morocco dengan 32 juta, Iraq dan Sudan masing-masing dengan 30 juta, Afganistan dan Ethiopia masing-masing dengan 28 juta, Uzbekistan dengan 26 juta, Saudi Arabia dengan 25 juta, Yaman dengan 23 juta, China dengan 22 juta, Syria dengan 20 juta, dan Rusia dengan 16 juta orang Islam.
Islam berkembang dan tersebar dari kota kecil Madinah ke seluruh pelusuk dunia.
Sekian. Wabillahi Taufiq Wassalamu’alaikum Wm Wb.
Disusun oleh – Taib Ahmad, Selangor.
18 Oktober 2011 Masihi bersamaan 20 Zulkaedah 1432 Hijrah.